Thursday, May 2, 2013

Kemurungan semasa hamil

 

Apakah tanda-tanda kemurungan?

Kehamilan adalah sesuatu yang menggembirakan, tetapi bukan setiap masa, dan bukan setiap wanita merasa begitu. Kira-kira satu dalam 10 wanita mengalami kemurungan semasa hamil.

Kita mungkin cuba menutup perasaan ini kerana kita selalu percaya bahawa kehamilan adalah masa yang menggembirakan, atau kita mungkin menganggap kesedihan itu sebagai "angin tak baik" yang sering berlaku semasa hamil. Tetapi kemurungan boleh menjadi masalah serius bagi sesetengah wanita.

Tidak mudah untuk mengumpulkan beberapa simptom dan mengatakan ia akan menjurus kepada kemurungan kerana masalah ini berbeza dari seorang wanita ke wanita lain. Sesetengahnya mempunyai angin tak baik sepanjang masa, sesetengah yang lain pula merasa jengkel dan sering menangis, atau merasa diri tak berguna dan tidak mahu hidup. Kemurungan boleh menjejaskan emosi dan fizikal serta tindak-tanduk anda.

Berikut adalah beberapa simptom yang mungkin ada jika anda mengalami kemurungan:
  • tidak dapat menumpukan perhatian;
  • sentiasa bimbang;
  • rasa sangat jengkel;
  • masalah tidur;
  • keletihan yang teruk atau berpanjangan;
  • keinginan untuk makan setiap masa atau tiada selera makan langsung;
  • perasaan bahawa tiada apa yang menggembirakan atau menyeronokkan;
  • rasa sedih yang berterusan.

 

Apakah sebab kemurungan ini?

Sebelum ini, hormon kehamilan dipercayai mempunyai "kesan perlindungan" daripada kemurungan, kerana ramai wanita yang mempunyai perasaan dan emosi yang bagus semasa hamil. Namun, kini diakui bahawa tekanan dan stres akibat kehamilan dan menjaga anak kecil boleh membuatkan kaum wanita terdedah kepada masalah ini.

Jika terdapat mana-mana aspek dalam kehidupan anda yang tidak berjalan lancar, maka anda menjadi lebih terdedah kepada kemurungan. Contohnya, sebab utama kemurungan semasa hamil ialah masalah perhubungan. Jika anda tidak mempunyai hubungan yang baik dengan suami, atau suami anda tiada di sisi, maka anda lebih berkemungkinan untuk mengalami kemurungan.


Sebab-sebab lain:

Peristiwa dalam hidup yang memberi tekanan
Adakah anda akan berpindah ke rumah yang lebih besar sebagai persiapan menyambut kehadiran bayi ini? Adakah anda mempunyai masalah di tempat kerja? Apa-apa perubahan besar dalam kehidupan harian seperti perpindahan, atau peristiwa penting dalam hidup seperti perceraian atau kehilangan kerja boleh menyebabkan kemurungan.

Pendapatan rendah
Tiada pekerjaan dan tiada kelayakan kedua-duanya memainkan peranan, tetapi jumlah pendapatan yang rendah itu sendiri mempunyai kaitan besar dengan kemurungan pranatal.

Masalah kehamilan
Kehamilan yang bermasalah, contohnya yang menyebabkan mabuk hamil yang teruk, boleh mengganggu emosi. Jika anda tidak mahu hamil pada ketika ini, maka perkara ini juga akan menyumbang kepada kemurungan.

Komplikasi dalam kehamilan terdahulu
Pengalaman hamil dan bersalin yang terdahulu boleh mencorak bagaimana anda rasa mengenai kehamilan ini. Kajian telah menunjukkan bahawa komplikasi dalam kehamilan terdahulu mempunyai kaitan dengan kemurungan pranatal.

Masalah kesuburan atau keguguran
Jika anda mengalami banyak kesulitan untuk hamil, atau pernah mengalami keguguran di masa lalu, anda mungkin akan merasa risau mengenai kesihatan kandungan sekarang.

Penderaan, samada di masa lalu atau sekarang
Kehamilan boleh menjadi penyebab bagi keganasan rumah tangga atau menjadikannya lebih teruk. Bagi wanita yang pernah mengalami penderaan emosi, seksual, fizikal atau melalui tutur kata, memori hitam ini boleh muncul semula akibat kehamilan. Badan anda kini berubah tanpa boleh dikawal, dan ini boleh mengembalikan isu-isu yang telah lama terpendam.

Anda sepatutnya boleh berbincang dengan selamat dengan doktor anda semasa pemeriksaan pranatal, di mana anda boleh memberitahu beliau mengenai sebarang penderaan (dulu atau sekarang) supaya anda boleh mendapat bantuan dan sokongan yang sewajarnya.

Sejarah kemurungan peribadi atau dalam keluarga
Jika masalah kemurungan berlaku dalam keluarga anda, atau jika anda sendiri pernah mengalami kemurungan, anda mungkin lebih berkemungkinan untuk menjadi murung. Tetapi bukti menunjukkan bahawa ini meletakkan anda dalam risiko lebih tinggi untuk mendapat kemurungan selepas bersalin atau meroyan (postnatal depression), berbanding kemurungan semasa hamil.

Semasa pemeriksaan pranatal, doktor anda mungkin akan bertanya mengenai kesihatan mental anda pada masa ini dan terdahulu supaya anda boleh mendapat bantuan apabila anda memerlukannya.

 

Bagaimanakah saya boleh menangani kemurungan?

Berehatlah
Tahan keinginan untuk membuat seberapa banyak tugas yang anda boleh sebelum kelahiran bayi. Letakkan diri anda di tempat teratas dalam senarai perkara yang anda perlu buat. Anda tidak akan mempunyai banyak masa untuk diri sendiri sebaik sahaja bayi anda lahir. Bacalah buku, bersarapan di katil, atau keluar dengan rakan. Menjaga diri sendiri adalah satu perkara yang penting dalam penjagaan bayi.

Bersenam
Walaupun ini bukanlah masa yang terbaik untuk memulakan regim senaman yang berat, senaman boleh membantu memperbaiki mood anda. Berenang, berjalan dan kelas senaman pranatal selamat dilakukan semasa hamil. Tahu lebih lanjut mengenai senaman yang disyorkan sepanjang kehamilan dan sasarkan untuk membuatnya tiga kali seminggu.

Luahkan
Berbincanglah dengan suami anda dengan jujur. Anda perlukan sokongannya, dan dia hanya boleh melakukan perkara ini jika anda berterus terang. Anda juga boleh meluahkan kebimbangan anda mengenai masa depan dengan rakan-rakan dan ahli keluarga.

Cubalah terapi atau kaunseling
Jika anda telah melakukan segala-galanya untuk mengeluarkan diri daripada kemurungan ini selama dua minggu tetapi tidak berhasil, berjumpa dengan ahli terapi atau kaunseling mungkin membantu. Anda perlu mendapatkan seseorang yang boleh dipercayai dan yang anda rasa selamat untuk bercakap tentang hal ini.

 

Bilakah saya patut bimbang?

Jika anda rasa seperti hendak membunuh diri, atau hilang pertimbangan, tidak dapat menjalankan tanggung jawab harian, atau jika anda mengalami serangan panik, berbincanglah dengan doktor anda dengan segera. Ini sangat penting terutamanya jika anda dapati sukar untuk menjaga diri sendiri dan tidak lalu makan, kerana ini boleh menjejaskan perkembangan bayi dalam kandungan anda.

Berjumpa ahli terapi atau psikiatri bukan tanda kelemahan. Ia adalah tanda bahawa anda adalah seorang ibu yang baik, yang sanggup mengambil apa sahaja langkah yang perlu untuk menjamin keselamatan dan kesihatan diri dan bayinya.

Jika kesemua cara di atas tidak berkesan dan kemurungan membuat hidup anda semakin sukar, berbincanglah dengan doktor mengenai ubat-ubatan. Memanglah anda boleh mengambil ubat anti-kemurungan semasa hamil, tetapi anda perlukan bantuan untuk menimbangkan kebaikan dan keburukannya dengan berhati-hati. Ini kerana, terdapat kemungkinan kecil yang kesihatan anda dan bayi boleh terjejas akibatnya.

Ubat anti-kemurungan yang biasa disarankan oleh doktor ialah fluoxetine, yang mempunyai jenama Prozac. Ia merupakan sejenis ubat anti-kemurungan yang dipanggil selective serotonin reuptake inhibitors (SSRIs).

SSRIs dipercayai meningkatkan risiko kecacatan jantung pada bayi. Dipercayai juga bahawa mengambil beberapa jenis ubat anti-kemurungan terutamanya venlafaxine (Efaxor) atau paroxetine (Seroxat), atau mengambil gabungan beberapa jenis ubat anti-kemurungan, boleh meningkatkan sedikit kemungkinan untuk gugur. Tetapi kemurungan yang teruk juga tidak baik untuk kesihatan anda dan bayi. Bincanglah dengan doktor anda mengenai apa yang terbaik untuk anda.


Artikel dipetik dari www.babycenter.com.my


***************************************************

Hmmm.. kita rasa ada masalah kemurungan laaa.. hmmm semua simptom diatas rasanya ada pada kita ini. Semua serba tak kena. Tidur tak lena. Sedih dan risau semacam. Makan tak lalu. Rasa nak bawa diri jauh-jauh cari ketenangan. boleh?
 :'(




2 comments:

Shada Dadadoodoo said...

I pun dulu depressed.
Teruk jugak tapi alhamdulillah tak sampai membahayakan diri atau baby.
Cuma tindakan kurang cerdik.
Kecik hati dengan husband then drove alone at 2 in the morning.
Masa tu menangis semaunyaaaa haha.
Sambil drive..
Terasa macam drama pulak.
Hahaha.

But I think you should find someone to talk to.
Kalau takde, tulis dalam buku.
Or kertas and throw it away lepas dah tulis.
Sambil niat biarlah negative vibes ni terbuang sekali dgn luahan you tu.

Paling penting, bercakap dengan Dia.
Kawan mungkin boleh offer their shoulders for us to cry on.
Tapi mungkin juga boleh menolak.
Tapi Allah sentiasa ada, sentiasa mendengar.
Doa selalu.

Kuat semangat! :)

rinduan citarasa said...

apapun semangat kena kuat.
mudahan bjaya mengharungi pembawakaan..

all the best

ps: be strong!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Penafian @ Pemberitahuan

Segala isi kandungan dan gambar-gambar di misswawa's blog ini tidak boleh ditiru, dihasilkan semula dalam bentuk-bentuk lain, dipindahmilik, dicetak, disimpan atau digunakan semula. Setiap rujukan hendaklah memberi kredit dan/atau rujukan kepada misswawa's blog . SEKIAN dimaklumkan sekali lagi

apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain; atau memulakan suatu komunikasi dengan menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi, sama ada secara berterusan, berulang kali atau selainnya, dan dalam masa itu komunikasi mungkin atau tidak mungkin berlaku, dengan atau tanpa mendedahkan identitinya dan dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu mana-mana orang di mana-mana nombor atau alamat elektronik, adalah melakukan suatu kesalahan, tindakan boleh diambil mengikut akta AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998